Tuesday, 8 November 2011

Ciri dan Tujuan Peribahasa

Peribahasa dikatakan sebagai cerminan watak bangsa yang memilikinya. Di samping itu, peribahasa juga penting dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Ini kerana dalam peribahasa tersirat makna yang cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan komunikasi lisan atau tulisan menjadi lebih lancar dan berkesan. Kewujudan peribahasa adalah serentak dengan kewujudan sesebuah bangsa dan terus berkembang dalam proses manusia menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sehariannya.

Dalam menghasilkan peribahasa, tiga sumber utama telah digunakan oleh masyarakat penuturnya iaitu :

i)  Melalui pengalaman hidup, khususnya dalam kalangan rakyat biasa
ii) Melalui penaakulan para bijak pandai
iii) Menerusi sumber yang didapati daripada kitab-kitab suci (Abdullah Hussain, 2003).

Hasilnya, peribahasa yang bermain di mulut orang Melayu bukan sahaja mendukung isi yang tepat dan kias ibarat yang tajam, malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Pada masa yang sama , unsur didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar kepada pemikiran serta perasaan mereka.

Dalam konteks masyarakat, peribahasa mempunyai dua tujuan utama iaitu menyembunyikan ungkapan atau kata-kata kasar dan penghuraian sistem adat Melayu. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang lembut ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Pada kebiasaannya, masyarakat Melayu tidak gemar berterus terang dalam menyatakan sesuatu yang tidak digemarinya. Contohnya untuk meluahkan rasa marah terhadap perlakuan seseorang akan diungkapkan peribahasa berikut :
                                 Siapa makan lada, dialah terasa pedasnya,
                                 Lembu punya susu, sapi dapat nama

Menerusi peribahasa juga, kata-kata kasar dapat dielakkan penggunaannya dan diganti dengan kata-kata yang lebih halus dan indah bagi menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati. Contohnya dalam menyatakan badan seseorang yang terlalu kurus, maka digunakan peribahasa badannya melidi, sementara bagi menyatakan kebodohan seseorang diganti dengan ungkapan Pak Pandir.  

Apa Yang Anda Tahu Tentang Peribahasa?

Menurut Zaaba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Manakala peribahasa tradisi pula merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005:1185) makna peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu,bidal,pepatah:pegangan mereka yang teguh kepada peribahasa"biar mati anak jangan mati adat", sudah cukup menggambarkan kebudayaan mereka.

Menurut Zaaba (1934), peribahasa diertikan sebagai segala susunan cakap yang pendek dan yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak turun temurun kerana sedap didengar dan perkataannya bijak,ringkas,luas dan mempunyai maksud yang mendalam, dipakai akan jadi sebutan-sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Oleh sebab itu,apa yang dikatakan mengandungi segala sifat-sifat peribahasa yang telah disebutkan. Walhal kesemua itu ialah cakap-cakap bijaksana yang ringkas yang telah terbeku dari beberapa zaman dan telah masyhur terpakai pada mulut orang ramai, dan kadangkala diumumkan namanya "perkataan orang tua-tua" sahaja.

Peribahasa juga digunapakai untuk membuat dan menghiasai karangan atau percakapan dan menguatkan tujuan karangan atau sesuatu percakapan. Di samping itu, peribahasa juga boleh dijadikan pedoman hidup kerana maksud dan isinya yang benar dan luas.

Peribahasa, seperti yang sudah diketahui umum, merupakan satu daripada cabang sastera lama, bukan sahaja bagi bangsa Melayu tetapi juga bagi hampir semua bangsa di dunia. Sebelum ada undang-undang yang mengawal perilaku hidup manusia bermasyarakat, orang bijak pandai dalam sesuatu bangsa pada zaman itu telah mencipta beberapa petua, nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib pergaulan dan hubungan sesama manusia. Petua, nasihat dan petunjuk itu diambil daripada alam sekeliling, contohnya perangai dan sifat manusia itu sendiri, juga daripada sifat dan tabiat binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.