Monday, 14 November 2011

Peribahasa Dalam Pendidikan


 
Dalam proses P&P subjek bahasa Melayu khasnya di sekolah, peribahasa mempunyai kedudukan yang sama penting dalam aspek lain. Hal ini kerana peribahasa berupaya untuk berkembang dan relevan dengan bahasa tersebut secara keseluruhannya. Pembelejaran dan penghayatan peribahasa bertujuan meningkatkan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid. Kemahiran berbahasa ini pula akan diteliti dalam konteks kebolehan murid menggunakan peribahasa dalam aktiviti seharian dan penulisan. Hasil penulisan tentunya akan menjadi lebih indah dan bermutu sekiranya dimuatkan dengan peribahasa yang tepat dan sesuai.
Sehubungan itu, murid perlu diajar mengenai ciri dan penggunaan peribahasa secara mudah dan tepat. Namun begitu, murid tidak seharsnya digalakkan menghafal sesuatu peribahasa  sebaliknya mereka harus diransang agar menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi. Bagi mencapai tujuan ini, beberapa halangan perlu dihadapi semasa proses P&P berlangsung. Antaranya ialah kesukaran murid untuk mengingat sesuatu peribahasa ekoran sifat yang mempunyai pelbagai makna. Selain jumlah dan jenisnya yang banyak, sifat peribahasa yang hanya sesuai untuk keadaan tertentu menyebabkan minat dan kecenderungan untuk mempelajarinya menurun.
            Selain itu, pengajaran berpusatkan guru turut menyebabkan pengajaran peribahasa tidak begitu berkesan. Guru memberikan penjelasan mengenai maksud peribahasa, manakala murid akan berusaha menghafal peribahasa yang diberikan dan tidak menghayatinya sehingga mereka menganggap peribahasa adalah sesuatu yang sukar untuk dipelajari. Sebagai jalan penyelesaian, adalah dicadangkan agar pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah menggunakan pendekatan konstektual , iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Menerusi pendekatan ini, pengamatan perlu dilakukan mengenai hubungan antara perkara yang dibandingkan, diikuti dengan menyimpul makna yang simbolik dan terakhir membuat penilaian terhadap ketepatan peribahasa berdasarkan konteks dan situasinya. Dengan cara ini, murid diajar menghayati peribahasa berdasarkan konteks dan situasi.
            Penggunaan peribahasa dalam karangan bertujuan untuk memperindah bahasa dan untuk menimbulkan daya tarikan atau kesan-kesan lain. Karangan dan pertuturan akan lebih menarik jika peribahasa adalah unsur gaya dalam pertuturan dan penulisan. Untuk menggunakan peribahasa dengan baik, seseorang hendaklah betul-betul memahami peribahasa itu dan mengetahui tempat dan ketikanya peribahasa itu diperlukan.
Kesimpulannya, peribahasa dalam pengajaran bahasa Melayu sangat bergantung pada daya kreativiti seseorang guru. Seseorang guru yang kreatif melihat peribahasa sebagai salah satu bahan pengajaran yang banyak mempunyai unsur-unsur pengajaran, kemasyarakatan,kemahiran berfikir dan sebagainya. Peribahasa boleh diaplikasikan dalam pelbagai kemahiran bahasa seperti penulisan karangan, kemahiran lisan atau bercerita, teka-teki atau kuiz, kemahiran tatabahasa, pemahaman dan sebagainya.

Wednesday, 9 November 2011

Jenis-Jenis Peribahasa

Peribahasa merangkumi simpulan bahasa,perumpamaan,pepatah,bidalan,perbilangan,kata-kata hikmah dan bahasa kiasan. Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu:

1) Simpulan Bahasa
    Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

Ciri-ciri Simpulan Bahasa
a) Terbentuk daripada penggunaan kata nama am - anak buah, anak emas, buah tangan, lipas kudung.
b) Terbentuk daripada penggunaan kata kerja - ajak-ajak ayam, buat bodoh, pasang telinga,cakar ayam
c) Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif - besar kepala, bodoh sepat,kecil hati, berat hati
d) Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas - Abu Jahal,Mat Jenin,Pak Kaduk
e) Terbentuk daripada nilai kepercayaan - air pinang, batu buyung, makan bulan


2) Perumpamaan
    Perumpamaan ialah susunan kata-kata yang indah, ringkas dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat. Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama. Contoh perumpamaan : bagai aur dengan tebing,seperti api dalam sekam, bak bulan dipagari bintang.

3) Pepatah
    Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, diam ubi berisi, diam besi berkarat bermaksud orang yang pendiam tetapi berakal itu lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.

4) Bidalan
    Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran. Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong.

5) Perbilangan
    Perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkaba dan Palembang yang dikenali sebagai 'Adat Minangkabau'.
   Di Malaysia, perbilangan adat ini banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu digunakan dalam Adat Pepatih. Perbilangan adat ini diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi.Perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini :
                                Adat bersendi hukum
                                Hukum bersendi Kitabullah
                                Kuat adat, tak gaduhkan hukum
                                Kuat hukum, tak gaduhkan adat
                                Ikut hukum, muafakat
                                Ikut adat muafakat 

6) Kata Hikmat
     Kata hikmat merujuk kepada kata-kata pujangga, ulama atau orang bijak pandai. Kata hikmat dijadikan pedoman hidp dan percakapan umum. Bentuknya ringkas tetapi mempunyai maksud yang benar dan dalam.Mengikut Kamus Dewan, kata hikmat atau kata pujangga ialah perkataan orang bijak pandai yang mempunyai pengertian yang tinggi. Ini bermaksid ungkapan yang berupa nasihat, panduan dan peringatan serta dijadikan pedoman hidup, contohnya "bahasa menunjukkan bangsa", "bersatu teguh bercerai roboh", "maju bangsa maju negara" dan sebagainya. Zaaba juga menyebut tentang kategori yang sama sebagai lidah pendeta yang didefinisikan sebagai perkataan yang bijak,pendek,sedap, benar dan berisi.