Dalam proses P&P subjek bahasa Melayu khasnya di sekolah, peribahasa mempunyai kedudukan yang sama penting dalam aspek lain. Hal ini kerana peribahasa berupaya untuk berkembang dan relevan dengan bahasa tersebut secara keseluruhannya. Pembelejaran dan penghayatan peribahasa bertujuan meningkatkan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid. Kemahiran berbahasa ini pula akan diteliti dalam konteks kebolehan murid menggunakan peribahasa dalam aktiviti seharian dan penulisan. Hasil penulisan tentunya akan menjadi lebih indah dan bermutu sekiranya dimuatkan dengan peribahasa yang tepat dan sesuai.
Sehubungan itu, murid perlu diajar mengenai ciri dan penggunaan peribahasa secara mudah dan tepat. Namun begitu, murid tidak seharsnya digalakkan menghafal sesuatu peribahasa sebaliknya mereka harus diransang agar menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi. Bagi mencapai tujuan ini, beberapa halangan perlu dihadapi semasa proses P&P berlangsung. Antaranya ialah kesukaran murid untuk mengingat sesuatu peribahasa ekoran sifat yang mempunyai pelbagai makna. Selain jumlah dan jenisnya yang banyak, sifat peribahasa yang hanya sesuai untuk keadaan tertentu menyebabkan minat dan kecenderungan untuk mempelajarinya menurun.
Selain itu, pengajaran berpusatkan guru turut menyebabkan pengajaran peribahasa tidak begitu berkesan. Guru memberikan penjelasan mengenai maksud peribahasa, manakala murid akan berusaha menghafal peribahasa yang diberikan dan tidak menghayatinya sehingga mereka menganggap peribahasa adalah sesuatu yang sukar untuk dipelajari. Sebagai jalan penyelesaian, adalah dicadangkan agar pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah menggunakan pendekatan konstektual , iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Menerusi pendekatan ini, pengamatan perlu dilakukan mengenai hubungan antara perkara yang dibandingkan, diikuti dengan menyimpul makna yang simbolik dan terakhir membuat penilaian terhadap ketepatan peribahasa berdasarkan konteks dan situasinya. Dengan cara ini, murid diajar menghayati peribahasa berdasarkan konteks dan situasi.
Penggunaan peribahasa dalam karangan bertujuan untuk memperindah bahasa dan untuk menimbulkan daya tarikan atau kesan-kesan lain. Karangan dan pertuturan akan lebih menarik jika peribahasa adalah unsur gaya dalam pertuturan dan penulisan. Untuk menggunakan peribahasa dengan baik, seseorang hendaklah betul-betul memahami peribahasa itu dan mengetahui tempat dan ketikanya peribahasa itu diperlukan.
Kesimpulannya, peribahasa dalam pengajaran bahasa Melayu sangat bergantung pada daya kreativiti seseorang guru. Seseorang guru yang kreatif melihat peribahasa sebagai salah satu bahan pengajaran yang banyak mempunyai unsur-unsur pengajaran, kemasyarakatan,kemahiran berfikir dan sebagainya. Peribahasa boleh diaplikasikan dalam pelbagai kemahiran bahasa seperti penulisan karangan, kemahiran lisan atau bercerita, teka-teki atau kuiz, kemahiran tatabahasa, pemahaman dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment